KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menerima kunjungan hormat perpisahan Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak Kementerian Luar Negeri, Dato Fenny Nuli yang bakal menggalas tugas sebagai Duta Besar Malaysia ke Republik Austria.
Menurut Fenny, kunjungan tersebut bukan sahaja sebagai tanda penghargaan atas kerjasama erat yang terjalin antara Kerajaan Sarawak dan Kementerian Luar Negeri sepanjang tempoh perkhidmatannya, malah menjadi platform membincangkan potensi memperluas hubungan strategik Sarawak dengan Austria dan Slovakia.
Katanya, perbincangan turut menyentuh peluang kerjasama yang boleh diteroka berdasarkan kepentingan Sarawak di Vienna, termasuk bidang yang berpotensi diberi perhatian oleh Kedutaan Malaysia bagi memudah cara pelaksanaan kerjasama dengan kedua-dua negara tersebut.
“Kami turut membincangkan potensi kerjasama yang boleh diterokai berdasarkan kepentingan Sarawak di Vienna, Austria dan Slovakia, termasuk bidang yang diminati Sarawak untuk kami, sebagai pihak kedutaan, teliti dan bantu laksanakan.
“Sebagai Duta Besar Malaysia, saya berharap dapat terus memperjuangkan kepentingan negara, khususnya dalam memperkukuh perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dengan Austria serta Slovakia.
“Kedutaan Malaysia di Vienna juga sentiasa bersedia membantu mana-mana negeri yang ingin mempromosikan kerjasama atau meneroka peluang baharu dengan kedua-dua negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak di Kompleks Satria Pertiwi hari ini.
Menurut beliau, Austria mempunyai kepakaran dalam bidang hidrogen hijau, pengurusan air serta teknologi termaju, manakala Slovakia pula terkenal sebagai antara hab teknologi automotif di Eropah.
“Austria mempunyai kepakaran yang sangat baik dalam bidang hidrogen hijau, pengurusan air dan pelbagai teknologi maju, manakala Slovakia, walaupun sebuah negara kecil, memiliki kekuatan yang besar dalam teknologi automotif.
“Saya melihat Malaysia mempunyai potensi besar untuk menjalin kerjasama dengan kedua-dua negara ini dalam bidang berkenaan dan itulah antara perkara yang saya bincangkan bersama Yang Amat Berhormat Premier Sarawak hari ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Fenny berkata beliau turut mendapatkan pandangan dan nasihat Premier Sarawak berhubung beberapa perkara berkepentingan melibatkan Sarawak dan Malaysia sebagai persediaan sebelum memulakan tugas diplomatik di Eropah.
