Festival Muzik Borderland 2026 sasarkan 21,000 pengunjung

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan terus menyokong penganjuran Festival Muzik Borderland selagi festival itu diuruskan secara bertanggungjawab serta mengutamakan aspek keselamatan.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, festival muzik seperti ini antara yang semakin mendapat sambutan, khususnya golongan muda.

Justeru tegasnya, ia perlu diurus dengan teliti bagi mengelakkan sebarang insiden yang boleh menjejaskan imej penganjur dan kerajaan.

“Pelbagai agensi termasuk polis, bomba, pihak berkuasa tempatan dan Kementerian Kesihatan terlibat dalam penyelarasan.

“Ini bagi memastikan Festival muzik ini yang berlangsung pada 11 dan 12 September depan di Kampung Budaya Sarawak berjalan lancar dan selamat,”katanya.

Abdul Karim berkata demikian semasa mengadakan sidang media mengenai Festival Muzik Borderland 2026 di Baitulmakmur II di sini, hari ini.

Jelas beliau lagi, kerajaan turut mengiktiraf kepelbagaian genre muzik dan menyokong penganjuran festival seumpana ini serta Festival Muzik Hutan Hujan yang menyasarkan kelompok peminat berbeza.

Tambah beliau, festival itu bukan sahaja menawarkan hiburan berkualiti dengan kehadiran beberapa DJ bertaraf dunia, malah dijangka memberi impak positif kepada industri pelancongan dan ekonomi Sarawak.

Festival ini menyasarkan kehadiran sekitar 21,000 pengunjung dan jelas Abdul Karim ia sekali gus mampu mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai destinasi utama pelancongan muzik di rantau ini.

Tambahnya, ia membuktikan festival seperti ini bukan sekadar acara hiburan, malah telah berkembang menjadi pemangkin penting kepada industri pelancongan dan ekonomi kreatif negeri.

Sejak diperkenalkan 2023, Festival Muzik Borderland berjaya menarik lebih 33,000 pengunjung serta menjana kira-kira RM10.3 juta impak ekonomi langsung menerusi sektor penginapan, makanan dan minuman, pengangkutan serta pelbagai aktiviti pelancongan.

Memasuki edisi keempat penganjurannya, festival itu bakal menghimpunkan lebih 40 artis tempatan dan antarabangsa, antaranya KSHMR, Ben Nicky, Blasterjaxx, Arcando, DNA (Mister Aloy & JayJax), Juelz serta RAMENGVRL bersama Indahkus.