TYT terima kunjungan hormat Persatuan Alumni Polis Sarawak

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menerima kunjungan hormat daripada Persatuan Alumni Polis Sarawak di Astana Negeri Sarawak, Petra Jaya, hari ini.

Kehadiran rombongan diketuai Presidennya, Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai untuk mendapatkan nasihat dan panduan mengenai persatuan tersebut yang menjaga kebajikan bekas-bekas anggota polis di negeri ini.

Sepanjang 12 tahun penubuhannya, persatuan merancang serta melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan khususnya bagi membantu ahli-ahli yang berdepan masalah kesihatan, selain menghulurkan bantuan kepada waris ahli yang meninggal dunia.

Dalam kunjungan tersebut, Yang di-Pertua Negeri Sarawak bersama persatuan tersebut turut membincangkan cadangan penubuhan sebuah koperasi Alumni Polis sebagai inisiatif menjana sumber kewangan yang lebih mampan.

Koeprasi berkenaan bakal terlibat dalam aktiviti perniagaan bagi memperoleh dana yang akan disalurkan semula untuk kebajikan ahli-ahli persatuan.

Selain itu, penubuhan koperasi itu juga membolehkan ahli-ahli memiliki pegangan saham serta menikmati pelbagai kemudahan yang ditawarkan menerusi koperasi berkenaan.

Tun Dr Wan Junaidi turut berkongsi mengenai model-model koperasi yang telah berjaya diwujudkan sebagai rujukan dalam merealisasikan penubuhan koperasi Persatuan Alumni Polis Sarawak.