KUCHING: Pengalaman Sarawak dalam pembangunan infrastruktur dan pengurusan sempadan antara tumpuan lawatan kerja Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ke negeri ini dari 9 hingga 11 Ogos.
Saarani yang mengetuai delegasi kerajaan negeri Perak turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebelum menghadiri Majlis Makan Malam Rasmi di Dewan Perdana, Kompleks Satria Pertiwi, malam tadi.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pemimpin bertukar pandangan mengenai pembangunan negeri serta potensi kerjasama strategik yang boleh memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
Antara tumpuan lawatan ialah tapak Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Serikin yang menjadi rujukan kepada cadangan pembangunan Kompleks ICQS Bukit Berapit di Pengkalan Hulu, Perak di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Selain itu, delegasi Perak turut diberikan taklimat berkaitan pengurusan sempadan dan imigresen Sarawak serta meninjau beberapa lokasi penting di Kuching, termasuk Muzium Budaya Borneo, sebelum mengakhiri lawatan kerja rasmi berkenaan.
