Kontinjen Sarawak diminta kekal juara SUKMA, Para SUKMA

KUCHING: Kontinjen Sarawak diminta mempertahankan kedudukan Sarawak sebagai juara keseluruhan temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA di Selangor tahun ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini kerana Kontinjen Sarawak pernah muncul sebagai juara keseluruhan temasya SUKMA dan Para SUKMA pada 2024.

“Untuk tahun 2026, kita mesti berusaha mempertahankan kedudukan tersebut sebagai juara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penyerahan bendera Kontinjen Sarawak ke temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-22 dan Para SUKMA Selangor 2026 di Hotel Raia, di sini hari ini.

Kontinjen Sarawak mempunyai seramai 980 orang terdiri daripada ketua kontinjen, pengurus pasukan, jurulatih dan atlet akan menyertai SUKMA Ke 22 di Selangor bermula 15 hingga 24 Ogos ini.

Abang Johari berkata, kemenangan itu bukan sahaja akan mengharumkan nama negeri, malah mengangkat standard sukan di Sarawak ke tahap yang lebih tinggi.

Menurutnya pelbagai usaha telah dilakukan, termasuk menyediakan kemudahan latihan yang lebih baik dan menghantar atlet Sarawak untuk menimba pengalaman di tempat lain.

Selain itu, beliau berkata Sarawak boleh mengambil contoh negara seperti New Zealand dalam pembangunan atlet.

“Walaupun jumlah penduduk mereka kecil, mereka mampu melahirkan atlet bertaraf dunia dan mencapat kejayaan dalam temasya Olimpik,” tambahnya.