KUCHING: Pembukaan hospital pintar HMI Medical di sini, dijangka memberi manfaat kepada rakyat Sarawak dengan menyediakan akses kepada rawatan pakar bertaraf tinggi.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dengan pembukaan hospital itu nanti, rakyat Sarawak tidak perlu lagi mendapatkan rawatan di luar negara, termasuk Singapura.
Beliau berkata, kemudahan itu berpotensi mengurangkan kos yang perlu ditanggung pesakit yang sebelum ini mendapatkan rawatan di luar Sarawak.
“Kewujudan hospital berstandard tinggi turut membuka peluang kepada golongan berpendapatan sederhana dan tinggi untuk mendapatkan rawatan berkualiti di negeri ini.
“Ramai juga yang pergi ke Singapura untuk mendapatkan rawatan dan dengan adanya hospital seperti ini, tidak perlu lagi pergi jauh dan kosnya juga lebih rendah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis pecah tanah Hospital Pakar Regency Kuching, milik HMI Medical di NorthBank Township, di sini, hari ini.
Tambahnya, pmbangunan sektor kesihatan di Sarawak turut mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak tempatan, khususnya dalam bidang kejururawatan dan perubatan.
Tambahnya, hospital berkenaan dijangka menarik kehadiran doktor pakar, jururawat profesional serta tenaga kesihatan berkemahiran tinggi ke Sarawak.
Kemudahan kesihatan bertaraf antarabangsa juga, jelasnya, berpotensi menjadikan Kuching sebagai destinasi pilihan bagi pesakit dari luar Sarawak yang mencari rawatan berkualiti.
“Apabila orang mencari hospital terbaik untuk mendapatkan rawatan, mereka boleh memilih Kuching.
“Ini bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat Sarawak, tetapi turut membuka ruang kepada perkembangan pelancongan perubatan,” katanya.
