KUCHING: Kerajaan Sarawak memberikan perhatian serius terhadap pembangunan sukan, kata Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Beliau berkata, di bawah kepimpinan Premier Sarawak, pembangunan sukan bukan hanya dilihat dari sudut pencapaian pingat, tetapi sebagai satu instrumen penting dalam membangunkan generasi yang sihat, berdisiplin, berdaya saing dan memiliki jati diri yang kukuh.
Pelbagai usaha telah dan sedang dilaksanakan bagi memperkukuhkan ekosistem sukan di Sarawak, katanya.
“Ini termasuk pembangunan kemudahan sukan, peningkatan program latihan, penggunaan sains sukan, pembangunan jurulatih serta penyediaan laluan yang lebih tersusun untuk atlet,” katanya pada majlis penyerahan bendera kontinjen Sarawak ke Sukan Malaysia XXII Selangor 2026 di sini hari ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyempurnakan majlis itu dengan menyerahkan bendera negeri kepada Chef De Mission Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu.
Pada temasya SUKMA XXll Selangor dari 15 hingga 24 Ogos ini, Sarawak menghantar 980 orang terdiri daripada ketua kontinjen, pengurusan pasukan, jurulatih dan atlet.
Temasya kali ini mempertandingkan 37 jenis sukan merangkumi 468 acara, sekali gus menjanjikan persaingan sengit antara atlet terbaik dari seluruh negara.
Kontinjen Sarawak berangkat ke Selangor dengan satu misi yang besar, iaitu mempertahankan kedudukan Sarawak sebagai salah sebuah kuasa utama sukan negara dengan menetapkan sasaran untuk membawa pulang 75 pingat emas, katanya.
Tahun 2024 merupakan tahun yang amat bermakna buat Sarawak apabila muncul sebagai juara keseluruhan SUKMA selepas penantian yang panjang, katanya.
Beliau menambah, kejayaan itu bukan sahaja membanggakan, malah membuktikan keupayaan Sarawak sebagai sebuah negeri yang mampu melahirkan atlet bertaraf tinggi.
