Persidangan Hikayat Panglima Nikosa berlangsung 25- 26 November depan

KUCHING: Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) dengan kerjasama Kursi Nusantara, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Pustaka Negeri Sarawak bakal menganjurkan Persidangan Antarabangsa Novel Melayu Pertama Diketahui di Dunia: Hikayat Panglima Nikosa.

Persidangan itu akan berlangsung pada 25 hingga 26 November depan di Wisma Melayu Sarawak, di sini.

Pengurus Besar AKYBMS, Datu Dr Sanib Said berkata, persidangan bertemakan “150 Tahun Hikayat Panglima Nikosa” itu diadakan sempena ulang tahun ke-150 penerbitan karya berkenaan yang dicetak pada 1876.

Menurutnya, Hikayat Panglima Nikosa (HPN) karya Ahmad Shawal Abdul Hamid yang dicetak di Bukit Persinggahan, di sini, dipersetujui sarjana sebagai antara karya sastera Melayu terawal yang menepati ciri novel moden.

“Penerbitan HPN menjadi titik penting dalam peralihan sastera Melayu daripada tradisi lisan dan karya klasik kepada budaya penerbitan bercetak moden.

“Selain itu turut meletakkan Sarawak dan Alam Melayu dalam sejarah perkembangan kesusasteraan dunia,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Tambahnya, HPN turut mempunyai nilai sejarah lebih luas kerana merakam perkembangan bahasa Jawi, teknologi percetakan awal, pemikiran dan sejarah intelektual serta kehidupan masyarakat Melayu Sarawak pada abad ke-19.

Persidangan itu nanti katanya, akan dirasmikan Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AKYBMS, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

AKYBMS katanya, turut menyasarkan penyertaan 300 peserta terdiri daripada sarjana, penyelidik, mahasiswa, penggiat sastera, kurator manuskrip, pengamal budaya serta wakil institusi tempatan dan antarabangsa.

AKYBMS sejak 2014 terus melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk program akademik, syarahan ilmiah, penyelidikan dan pementasan,

Langkah tersebut ujarnya, bagi memperkenalkan serta memartabatkan Hikayat Panglima Nikosa dan khazanah Melayu di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.