KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri menggesa segala perkara yang dibangkitkan melalui Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja Tabung Haji (RCI TH) perlu disiasat secara menyeluruh.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata, tindakan sewajarnya harus diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.
Beliau turut menyambut baik pendirian Perdana Menteri dan menyokong keputusan kerajaan supaya siasatan penuh oleh badan-badan penguatkuasaan diteruskan berdasarkan dapatan Laporan RCI itu, katanya menyertai perbahasan Laporan RCI TH di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Nancy, prinsipnya amat jelas, jika ada kesalahan maka tindakan mesti diambil, jika ada unsur jenayah, mereka yang bertanggungjawab mesti dibawa ke muka pengadilan tanpa mengira kedudukan dan latar bekalang.
Tahun demi tahun, katanya, Tabung Haji telah berkembang bukan sahaja dari segi bilangan dan jumlah simpanan pendeposit tetapi juga dari segi fungsi, tanggungjawab, kawal selia dan kompleksiti pengurusannya.
Daripada awal penubuhannya melalui Ordinan Haji 1951 sehinggalah penggubalan Akta Tabung Haji 1995, fungsi dan peranan Tabung Haji telah berkembang dengan begitu besar, tegas beliau.
Namun, katanya, satu perkara tidak pernah berubah: iaitu tujuan asasnya, sebagaimana namanya sendiri, iaitu menjadi wadah umat Islam di Malaysia untuk menabung dan merancang bagi menunaikan Rukun Islam yang kelima.
Tabung Haji hari ini, tambahnya, bukan sekadar sebuah institusi kewangan.
Ia adalah sebuah institusi yang sangat dekat dengan jiwa dan kepercayaan umat Islam di Malaysia dan tempat rakyat menyimpan hasil titik peluh mereka, dengan harapan suatu hari nanti dapat menjadi tetamu Allah.
“Oleh sebab itu, apabila dapatan Laporan RCI ini dibaca, saya percaya perasaan yang dirasai oleh ramai rakyat Malaysia bukan sekadar terkejut. Tidak keterlaluan jika pastinya ada di antara kita yang kecewa, marah, dan kita tertanya-tanya: Bagaimana perkara seperti ini boleh berlaku dalam sebuah institusi yang begitu penting dan begitu dipercayai oleh rakyat?” kata Nancy.
Beliau berkata, bergerak ke depan, negara perlu menjadikan laporan ini sebagai langkah untuk melakukan pembetulan yang lebih mendasar supaya kelemahan yang sama tidak akan berulang.
