BANGKOK: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengadakan pertemuan serta dialog peringkat tinggi di Bangkok dalam usaha memperluaskan jaringan strategik antarabangsa dan memperkukuhkan agenda pembangunan sektor tenaga.
Agenda lawatan kerja Premier Sarawak hari ini dimulakan dengan pertemuan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan pengasas Indorama Ventures Public Company Limited, Aloke Lohia di Hotel The Ritz-Carlton.
Pertemuan tersebut menjadi antara agenda penting dalam lawatan berkenaan, khususnya dalam memperluaskan jaringan Sarawak dengan pemain industri dan sektor korporat antarabangsa.
Hadir sama Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni bersama delegasi kerajaan negeri.
Pada sebelah petang, Premier dijadual menghadiri Mesyuarat Meja Bulat Peringkat Menteri secara tertutup sebelum meneruskan agenda dengan Sesi Dialog Tenaga bertajuk ‘Growth, Abundance and the Courage to Decarbonise’.
Beliau kemudiannya akan menyertai sesi ‘fireside chat’ di Bangkok International Trade and Exhibition Centre (BITEC), yang dijangka menjadi platform untuk mengetengahkan perspektif Sarawak mengenai masa depan industri tenaga, pertumbuhan ekonomi, peralihan tenaga serta usaha penyahkarbonan.
Penyertaan Sarawak dalam GASTECH 2026 turut membuka ruang untuk memperluas kerjasama dan jaringan strategik dengan pelbagai pihak berkepentingan serta pemain utama industri tenaga global, sekali gus memperkukuh kedudukan Sarawak dalam perkembangan sektor tenaga di peringkat antarabangsa.
Premier dijadual berlepas pulang ke Sarawak pada petang ini. – UKAS
