Premier setuju tubuhkan Agensi Pembangunan Miri

MIRI: Kerajaan Sarawak secara prinsipnya bersetuju cadangan penubuhan agensi pembangunan bagi kawasan pinggiran Miri.

Premier Sarawak merangkap Yang di-Pertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, cadangan itu dikemukakan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan bagi pihak pemimpin di Miri dalam usaha memberi tumpuan kepada pembangunan kawasan berkenaan.

“Pihak pemimpin di Miri telah menyuarakan keperluan untuk menubuhkan sebuah agensi bagi membangunkan kawasan pinggiran Miri.

“Saya secara prinsipnya bersetuju dengan cadangan tersebut,” katanya semasa berucap merasmikan Konvensyen Khas Parti PBB Zon Utara, di sini, hari ini.

Persetujuan itu disambut tepukan gemuruh oleh perwakilan parti.

Agensi itu dicadang memberi tumpuan kepada kawasan luar bandar dan pinggiran Miri, termasuk Lambir dan Marudi.

Sebahagian kawasan pedalaman pula kekal di bawah agensi pembangunan lain, termasuk Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) di bawah kendalian Timbalan Premier Sarawak merangkap Timbalan Yang di-Pertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

“Seperti yang kita laksanakan di Kuching, Serian dan kawasan pinggirannya mempunyai agensi pembangunan Kuching Greater.

“Maka, kita boleh mempertimbangkan penubuhan Agensi Pembangunan Miri Greater bagi kawasan berkenaan,” tambahnya.