Pendekatan politik Sarawak perlu kekal inklusif, tidak toksik

MIRI: Politik Sarawak perlu terus berteraskan pendekatan yang tidak toksik sebaliknya inklusif dan mengutamakan perpaduan bagi memastikan kepentingan masyarakat terbela.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pendekatan berkenaan penting bagi memastikan tiada mana-mana golongan masyarakat dipinggirkan daripada arus pembangunan wilayah itu.

“Inilah semangat kita dalam Parti PBB dan kita tidak mahu ada orang dipinggirkan,” tegasnya ketika berucap pada Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Utara di sini, hari ini.

Menurut Abang Johari, kesatuan politik merupakan antara kekuatan utama Sarawak dalam memperjuangkan hak dan kepentingan negeri di peringkat Persekutuan.

Katanya, perpaduan dalam kalangan parti politik Sarawak, khususnya menerusi Parti PBB dan Gabungan Parti Sarawak (GPS), membolehkan negeri itu membawa suara yang lebih kuat dalam rundingan berkaitan hak Sarawak.

Beliau berkata, semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu terus menjadi asas perjuangan bagi memastikan Sarawak kekal sebagai rakan dalam Persekutuan Malaysia.

“Apabila kita kuat, suara kita pun kuat. Kalau kita berpecah, kita tidak membawa suara yang satu.


Inilah yang penting dalam kita membangunkan Sarawak sebagai rakan dalam sebuah negara Malaysia,” katanya.

Abang Johari berkata, kestabilan politik turut membolehkan kerajaan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan ekonomi wilayah itu serta meningkatkan hasil Sarawak.

Menurutnya, peningkatan hasil Sarawak membolehkan kerajaan merangka dan melaksanakan lebih banyak inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

Beliau berkata, pendekatan politik yang stabil dan inklusif akan terus menjadi asas kepada usaha kerajaan membangunkan Sarawak serta memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati seluruh masyarakat.