MITSA bimbing pelajar sekolah rebut peluang pengajian

MIRI: Persatuan Alumni UiTM Sarawak (MITSA) meneruskan program motivasi dan bimbingan peluang pengajian untuk membantu pelajar sekolah menengah membuat persediaan akademik serta merancang masa depan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen P.193 Santubong, Dato Sri Nancy Shukri berkata, program tahunan itu merupakan inisiatif pembangunan modal insan hasil kerjasama MITSA dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak.

“MITSA berjaya menganjurkan program ini selama 25 tahun melibatkan sekolah menengah di Sarawak dan kali ini bertempat di SMK Bekenu, Miri,” katanya semasa merasmikan Majlis Penutupan Program Motivasi dan Bimbingan Peluang Pengajian, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Luar Negeri Malaysia merangkap Ahli Parlimen Sibuti, Dato Lukanisman Awang Sauni dan Rektor UiTM Cawangan Sarawak, Profesor Dr. Firdaus Abdullah.

Program yang bermula sejak 2005 sebelum ini dilaksanakan di Bintulu, Mukah, Lawas, Simunjan, Saratok, Kuching dan Sematan.

“Dalam tempoh dua minggu, MITSA akan mengadakan program ini di SMK Bako, Kuching.

“Program ini juga dirancang untuk diadakan di Sibu dan lokasi lain pada masa akan datang,” tambahnya.

Program di SMK Bekenu melibatkan bimbingan Matematik dan Bahasa Inggeris, pameran program akademik UiTM serta penerangan kelayakan kemasukan bidang pengajian.

Sesi perkongsian alumni turut diadakan bagi membantu pelajar Tingkatan Empat membuat pilihan bidang pengajian dan kerjaya, selain MITSA menyumbangkan kalkulator kepada SMK Bekenu.