Tindakan segera dilaksana tangani gangguan bekalan air

PADAWAN: Kerajaan Sarawak mengarahkan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) dan Sarawak Water Berhad melaksanakan segera langkah jangka pendek bagi menangani gangguan bekalan air susulan cuaca panas dan kering berpanjangan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata langkah itu bagi memastikan penduduk di kawasan terjejas terus mendapat bekalan air, terutama apabila sumber air semakin menyusut.

“Premier telah mengadakan pertemuan bagi membincangkan masalah air dan JBALB serta Sarawak Water diminta melaksanakan mekanisme jangka pendek bagi memastikan bekalan air dapat disediakan.

“Pada masa sama, agensi berkaitan turut menyediakan bekalan air ke kawasan yang tidak dapat menerima bekalan melalui sistem sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Bengkel Jentera Pentadbiran Pilihan Raya Negeri Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambong di Kampung Gerung.

Uggah berkata, Kerajaan Sarawak turut menetapkan sasaran supaya penghantaran bekalan air kepada penduduk yang memerlukan dilaksanakan dalam tempoh 12 jam selepas permohonan diterima.

Bagi mempercepatkan tindakan, proses permohonan bekalan air akan dipermudahkan supaya bantuan dapat disalurkan ke kawasan terjejas dalam tempoh lebih singkat.

Selain itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut membantu menyediakan bekalan air minuman dalam botol kepada penduduk di kawasan yang tidak menerima bekalan daripada JBALB.

Dalam perkembangan sama, Uggah berkata Operasi Pembenihan Awan (OPA) perlu diteruskan secepat mungkin apabila keadaan atmosfera mengizinkan bagi membantu meningkatkan paras air di kawasan tadahan dan empangan.

Beliau berkata beberapa kawasan termasuk Murum dan Batang Ai dilaporkan menerima hujan, namun kesannya terhadap sumber air masih perlu dinilai.

Antara kawasan yang mengalami gangguan bekalan air ialah Betong, Serian dan Miri, khususnya penempatan rumah panjang yang bergantung kepada sistem bekalan air graviti.

Uggah berkata tindakan awal perlu diambil berikutan unjuran keadaan lebih panas pada Oktober, dengan agensi berkaitan kini giat mencari penyelesaian bagi memastikan keperluan asas penduduk tidak terjejas.