Sarawak mahu perkenalkan pendekatan ‘Sekali Tanam, Tiga Kali Tuai’, industri nanas

KUCHING: Sarawak menyasarkan keluasan tanaman nanas negeri meningkat kepada 20,000 hektar menjelang 2030.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, sasaran itu termasuk pembangunan kawasan tanaman baharu seluas 2,000 hektar di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

“Kita tidak mahu melihat industri nanas hanya dari sudut menanam dan menghasilkan buah.

“Kita mahu membina rantaian nilai lengkap daripada ladang sehingga ke pasaran dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD), Datuk Dr Abdul Rahman Ismail sempena Majlis Perasmian Kursus Rantaian Nilai Industri Nanas Negeri Sarawak 2026, di sini, hari ini.

Menurutnya, kerajaan memperuntukkan RM80 juta di bawah RMK-13 bagi tempoh 2026 hingga 2030, dengan RM15 juta bagi fasa satu tahun ini yang memberi tumpuan kepada pelancaran dan latihan.

Sarawak kini mempunyai keluasan tanaman nanas 2,199.43 hektar, sekali gus menjadi negeri kedua terbesar di Malaysia dari segi keluasan tanaman nanas, dengan 1,480.10 hektar kawasan berhasil dan pengeluaran 33,231.55 tan metrik.

“Daripada satu sumber pendapatan, kita mahu memperkenalkan pendekatan ‘Sekali Tanam, Tiga Kali Tuai’, supaya buah, sulur dan sisa tanaman masing-masing mempunyai nilai ekonomi,” tambahnya.

Dalam pada itu, pembangunan varieti Sarawak Gold 1 (SG1) turut diberi perhatian dengan sasaran penanaman seluas 60 hektar pada 2026 serta pelaksanaan percubaan eksport ke Singapura.

Pendekatan itu meliputi penjualan buah segar atau diproses, penggunaan sulur sebagai bahan tanaman serta pemanfaatan sisa untuk kompos, makanan ternakan dan produk berasaskan bio.

Pada masa sama katanya, pembangunan industri nanas dijangka membuka peluang kepada agropreneur, pengusaha pemprosesan, pemasar, pengendali logistik, pengeksport serta tenaga kerja mahir khususnya di luar bandar.

Kursus tiga hari anjuran Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Sarawak itu disertai 200 peserta terdiri daripada pekebun nanas, usahawan Industri Asas Tani, wakil agensi kerajaan dan swasta serta institusi pengajian tinggi.