Membaca bina generasi kritis, berdaya saing

KUCHING: Amalan membaca bukan sekadar menambah ilmu, malah penting membentuk masyarakat yang mampu berfikir secara kritis dan berdaya saing.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro merangkap Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Safiee Ahmad berkata, perkembangan teknologi perlu dimanfaatkan untuk memperluaskan akses masyarakat kepada bahan bacaan.

“Bahan bacaan kini mudah diakses menerusi pelbagai peranti pintar, sekali gus menjadikan amalan membaca lebih mudah diterapkan sebagai budaya sepanjang hayat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Dekad Membaca Kebangsaan Peringkat Sarawak 2026 dan Sambutan Hari Literasi Sedunia 2026 di Galeri Pustaka Negeri Sarawak, di sini, hari ini.

Tambahnya, konsep pembacaan sepanjang hayat dan literasi digital amat bertepatan dengan usaha Sarawak memacu ekonomi digital berteraskan pengetahuan.

“Justeru, kita perlu memastikan budaya membaca terus subur dalam masyarakat dan tidak terhakis akibat perubahan gaya hidup serta perkembangan teknologi,” katanya.

Safiee berkata, usaha membudayakan membaca perlu dilaksanakan secara berterusan dengan kerjasama ibu bapa, guru, DBP, Pustaka Negeri Sarawak dan institusi perpustakaan.