KUCHING: Sarawak merekodkan 1,256 pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang diluluskan setakat 11 September 2026, menurut Ketua Bahagian Halal Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Jamaludin Taim.
Jelasnya, pemegang SPHM tersebut merangkumi pelbagai kategori termasuk industri besar, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), premis makanan serta industri kotej.
“Jumlah tersebut menunjukkan perkembangan positif dalam usaha memperluaskan pensijilan halal di negeri ini.
“Pensijilan halal bukan sekadar mengesahkan status halal makanan, malah memastikan pematuhan piawaian meliputi bahan mentah, premis, kebersihan, pemprosesan dan keselamatan makanan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menghadiri majlis doa selamat dan penyerahan Sijil Halal secara simbolik kepada iCafe Sarawak Chinese Muslim Seafood di Jalan Rubber di sini, hari ini.
Bagaimanapun, jelasnya, penyertaan dalam kalangan pengusaha Muslim masih dilihat agak rendah.
Justeru, beliau menggesa pengusaha makanan dan minuman digalakkan mendapatkan pensijilan halal sebagai nilai tambah kepada perniagaan serta produk masing-masing.
Pensijilan halal turut meningkatkan keyakinan pengguna dan membuka peluang produk tempatan menembusi pasaran luar Sarawak serta antarabangsa.
Sementara itu, pemilik iCafe, Muhammad Lukas Lim Abdullah berkata, dengan adanya pensijillan halal ini, ia dapat meningkatkan keyakinan pelanggan Islam untuk hadir ke kedai mereka.
Pensijilan halal ini ujarnya, turut memastikan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) secara berterusan sentiasa dititikberatkan dan dipatuhi.
“Proses mendapatkan pensijilan halal mengambil masa kira-kira setahun.
“Beberapa aspek perlu diberi perhatian oleh kami termasuk kebersihan, sumber bahan mentah dan pengendalian makanan,” katanya.
Ujarnya, antara hidangan yang menjadi pilihan pelanggan termasuk makanan laut, ketam, sotong, ayam mentega dan ayam kampung.
Dalam masa sama, selepas beroperasi lebih 20 tahun, Lukas merancang memperkenalkan menu baharu di kedainya.
“Selain itu, saya berhasrat memiliki bangunan sendiri untuk kedai ini dalam tempoh tiga tahun akan datang,” ujarnya. – NORAIDA ABDUL KASSIM / JIWA BAKTI
