KUCHING: Sarawak Energy sedang menjalankan semakan terhadap 24 kes bil elektrik yang dibangkitkan pelanggan menerusi media sosial baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat SESCO Berhad (SESCO), Yusri Safri berkata, semua pelanggan terbabit telah dihubungi dan semakan sedang dijalankan bagi setiap kes.
“Kami mendengar isu yang dibangkitkan pelanggan dan mahu membantu.
“Walaupun aduan mengenai bil elektrik yang lebih tinggi hanya melibatkan sebahagian kecil daripada kira-kira 830,000 pemegang akaun SESCO, kami memahami bahawa setiap kes boleh memberi kesan besar kepada pelanggan dan keluarga mereka.
“Oleh itu, setiap isu akan diberi perhatian dan bantuan yang sewajarnya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, bil yang lebih tinggi boleh berpunca daripada beberapa faktor, termasuk peningkatan penggunaan elektrik, pelarasan selepas tempoh bacaan anggaran, baki tertunggak daripada bil terdahulu atau keadaan lain yang berkaitan dengan akaun pelanggan.
“Setiap kes dinilai berdasarkan keadaan masing-masing. Kami sentiasa meneliti aduan dan
rayuan secara adil dan jika wajar, pelarasan atau pengecualian caj akan dibuat selepas semakan,” jelasnya.
Yusri berkata, penggantian meter sedia ada kepada meter pintar tidak menyebabkan penggunaan elektrik atau tarif yang dikenakan meningkat secara automatik.
Katanya, Sarawak Energy juga menerima maklum balas positif daripada pelanggan meter pintar, khususnya fungsi meter pintar yang membolehkan pelanggan memantau penggunaan elektrik harian dan mengurus penggunaan mereka dengan lebih baik.
Sehingga kini, sebanyak 270,748 meter pintar dipasang di seluruh Sarawak.
Bagi memudahkan pelanggan mendapatkan bantuan secara bersemuka, kaunter khas urusan bil elektrik terus beroperasi dari jam 9 pagi hingga 4 petang, Isnin hingga Jumaat, sehingga akhir September.
Kaunter berkenaan dibuka di Wisma SESCO, Kuching, Pejabat Wilayah Sibu Jalan Deshon, Bandar Baru Permyjaya, Miri dan Bintulu Town Square.
Pelanggan turut boleh mendapatkan bantuan dengan menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan di talian 1300-88-3111, menghantar e-mel kepada customercare@sarawakenergy.com, menggunakan aplikasi mudah alih SEB cares atau mengunjungi mana-mana kaunter khidmat pelanggan Sarawak Energy.
