SIBU: Keputusan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) hendaklah diterjemahkan kepada tindakan konkrit bagi memperkukuhkan penguasaan Matematik dan Sains dalam kalangan murid.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, pencapaian semasa yang masih ketinggalan berbanding Vietnam, Thailand dan Singapura perlu diberi perhatian serius.
Katanya, Kerajaan Sarawak melalui kerjasama dengan Yayasan Antarabangsa Singapura (SIF) sedang melibatkan pakar dari Singapura dalam bengkel berterusan bersama guru Matematik.
“Dalam tempoh beberapa bulan akan datang, saya mahu usaha ini dipertingkatkan dengan menggunakan pedagogi Singapura bagi membantu guru Matematik mengajar subjek itu dalam bahasa Inggeris di sekolah rendah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada 12 Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah rendah dan menengah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Sibu, di sini, hari ini.
Dr Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka berkata, penilaian murid Tahun Empat yang diperkenalkan tahun ini akan membantu mengenal pasti kelemahan dalam Matematik dan Sains.
Ini bagi membolehkan 10 sekolah rendah di kawasan DUN Nangka merangka program pembelajaran hujung minggu bagi murid Tahun Empat hingga Tahun Enam.
Beliau berkata, sebanyak 10 sekolah rendah dan dua sekolah menengah di kawasan DUN Nangka menerima kira-kira RM5,000 setiap sekolah.
Katanya, peruntukan itu akan ditingkatkan kepada RM7,500 dalam tempoh beberapa bulan akan datang, namun PIBG perlu memberi keutamaan kepada pelaksanaan program yang membantu murid.
