Rekod cemerlang GPS bina keyakinan rakyat

PADAWAN: Gabungan Parti Sarawak (GPS) mampu mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi di kawasan majoriti Dayak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Timbalan Yang di-Pertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, keyakinan itu berdasarkan pencapaian Kerajaan GPS sepanjang lima tahun lalu, terutama dalam melaksanakan janji pembangunan untuk rakyat.

“Saya yakin kerana seperti yang saya tegaskan sebelum ini, sepanjang lima tahun lalu kita telah menunaikan janji dan merealisasikannya.

“Banyak projek pembangunan sedang berjalan dan rakyat sendiri merasakan faedahnya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Bengkel Jentera Pentadbiran PRN DUN N.19 Mambong di Dewan Persatuan Biperoh.

Turut hadir Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr Jerip Susil.

Uggah berkata, kepimpinan Premier Sarawak merangkap Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, turut mengukuhkan keyakinannya terhadap kemampuan GPS menghadapi PRN akan datang.

“Kepimpinan Premier menjadi faktor nombor satu kerana beliau berupaya menjana dana baharu untuk menunaikan janji menjadi kenyataan,” katanya.

Mengenai status penyandang kerusi DUN kawasan Bidayuh dalam GPS bagi PRN akan datang, Uggah berkata keputusan pemilihan calon adalah di tangan Premier Sarawak.

“Perkara itu (soal calon) tanya dengan Premier Sarawak. Saya tidak dapat jawab,” katanya ringkas.

Dalam pada itu, beliau menyatakan kepuasan terhadap prestasi wakil rakyat GPS di kawasan Bidayuh yang disifatkannya sangat cemerlang dalam memacu pembangunan di kawasan masing-masing.

Penglibatan aktif wakil rakyat berkenaan dalam pelaksanaan pelbagai projek pembangunan, termasuk menerusi Agensi Pembangunan Greater Kuching (GKCDA), turut mendapat perhatian.

Bagi DUN Mambong, Uggah yakin GPS mampu mempertahankan kerusi berkenaan pada PRN akan datang, malah percaya kemenangan itu boleh dicapai dengan majoriti lebih besar.

Sehubungan itu, beliau menggesa pentadbiran Parti PBB dan GPS di peringkat ranting serta cawangan supaya memperkemaskan gerak kerja dan memberikan khidmat terbaik kepada rakyat di kawasan masing-masing.

Katanya, usaha mendekati rakyat secara berterusan serta memastikan agenda pembangunan dilaksanakan akan menjadi asas penting dalam mengekalkan sokongan terhadap GPS menjelang PRN akan datang.