SIBU: Ahli-ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) perlu terus memperkukuhkan hubungan silaturahim demi memantapkan jentera pentadbiran masing-masing.
Dalam masa sama, langkah itu bagi memastikan pengundi khususnya golongan muda terus didekati.
Naib Yang di-Pertua Parti PBB, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, hubungan antara ahli parti tidak seharusnya hanya terjalin ketika konvensyen atau musim pilihan raya, sebaliknya perlu dipupuk menerusi aktiviti bersama.
Katanya, pertemuan antara ahli Parti PBB Samariang dan Sibu menerusi majlis makan malam mengeratkan silaturahim selain memantapkan kerjasama di peringkat akar umbi.
“Kadang kala kita hanya bertemu ketika konvensyen. Selain itu, kita jarang mempunyai peluang untuk bertemu. Oleh itu, saya percaya kita perlu terus menganjurkan aktiviti seperti ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Parti PBB Samariang di Dewan LAKIS, di sini, malam tadi.
Dr Annuar yang juga Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat berkata, dengan pelbagai kemudahan pergerakan rakyat menjadi mudah.
“Kita perlu bekerjasama bagi memastikan kumpulan pengundi ini terus bersama kita,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu berkata, kunjungan balas antara ahli parti dari kawasan berbeza juga boleh diadakan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Cawangan Parti Samariang, Baderi Samad berkata, pertemuan berkenaan membuktikan jarak geografi bukan penghalang untuk ahli parti mengeratkan hubungan, sebaliknya memastikan semangat persaudaraan dan perpaduan dalam parti utuh.
