Lima mangsa nahas helikopter Long Lellang dikenal pasti menerusi analisis DNA

KUCHING: Identiti kesemua lima mangsa yang terkorban dalam nahas helikopter doktor udara di Long Lellang, Baram, berjaya dikenal pasti menerusi analisis DNA yang dijalankan Jabatan Kimia Malaysia.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, CP Datuk Mohamad Zainal Abdullah, berkata proses analisis DNA terhadap semua mangsa yang terkorban dalam kejadian berkenaan diselesaikan sepenuhnya.

Menurutnya, hasil analisis forensik berjaya menghasilkan profil DNA bagi kesemua lima mangsa, sekali gus mengesahkan identiti mereka.

“Susulan pengesahan identiti tersebut, mayat kesemua mangsa akan diserahkan kepada waris masing-masing melalui Jabatan Patologi Hospital Miri pada hari ini,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Jabatan Kimia Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Hospital Miri serta semua agensi yang terbabit dalam operasi pencarian dan pengurusan mangsa.

Dalam pada itu, Polis Sarawak menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta berharap mereka diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat sukar susulan tragedi berkenaan.