Sekolah Parlimen Tanjong Manis bakal guna TV pintar dalam pembelajaran

TANJUNG MANIS: Sebanyak 41 sekolah di kawasan Parlimen Tanjong Manis dijangka menerima kemudahan TV pintar sebelum penghujung tahun ini.

Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Yusuf Abd Wahab berkata, TV pintar berkenaan membolehkan guru menggunakan pelbagai bahan digital seperti video, grafik dan gambar bagi menjadikan penyampaian sesuatu mata pelajaran lebih menarik serta mudah difahami.

Katanya, teknologi ini juga boleh dihubungkan dengan komputer dan peralatan multimedia lain, sekali gus memberi lebih banyak pilihan kepada guru menyampaikan kandungan pembelajaran.

“Keberkesanan penggunaan TV pintar akan dipantau dari semasa ke semasa sebelum pertimbangan dibuat untuk menambah kemudahan itu di sekolah lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis penyerahan TV pintar kepada sekolah di Parlimen Tanjong Manis di SMK Semop, di sini, hari ini.

Selain itu, beliau turut meninjau projek menaik taraf Dewan Makan SMK Semop yang kini mencapai kira-kira 90 peratus.

Projek itu membabitkan kos RM300,000 menerusi peruntukan Projek Mesra Rakyat (PMR) Kerajaan Persekutuan.