Premier Sarawak mulakan lawatan kerja dua hari di Bangkok

BANGKOK: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg tiba di Bangkok petang tadi bagi lawatan kerja rasmi ke Thailand untuk menghadiri Mesyuarat Meja Bulat Peringkat Menteri sempena GASTECH 2026, Isnin ini.

Ketibaan beliau kira-kira jam 5.10 petang waktu tempatan itu turut disertai Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni.

Agenda rasmi Premier Sarawak pada Isnin akan dimulakan dengan pertemuan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan pengasas Indorama Ventures Public Company Limited, Aloke Lohia di The Ritz-Carlton, Bangkok.

Pertemuan itu dijangka membuka ruang untuk memperluaskan jaringan dan meneroka potensi kerjasama antara Sarawak dengan pemain industri serta sektor korporat antarabangsa.

Pada sebelah petang, Premier dijadual menghadiri Mesyuarat Meja Bulat Peringkat Menteri secara tertutup, diikuti Sesi Dialog Tenaga bertajuk ‘Growth, Abundance and the Courage to Decarbonise’.

Beliau kemudiannya akan menyertai sesi ‘fireside chat’ di Bangkok International Trade and Exhibition Centre (BITEC), yang memberi ruang untuk mengetengahkan perspektif Sarawak mengenai masa depan industri tenaga, pertumbuhan ekonomi, peralihan tenaga dan usaha penyahkarbonan.

Penyertaan dalam GASTECH 2026 turut membuka peluang kepada delegasi Sarawak untuk memperluas jaringan strategik dengan pihak berkepentingan serta pemain utama industri tenaga global.

Premier Sarawak dijadual berlepas pulang ke ibu negeri pada petang esok. – UKAS