KUCHING: Ibu bapa perlu meningkatkan langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan anak-anak.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, anak-anak yang belum mencapai umur dibenarkan memandu tidak harus dibiarkan menggunakan kereta atau motosikal tanpa pengetahuan ibu bapa.
“Langkah pencegahan perlu bermula dari rumah.
“Ini termasuk memastikan kunci kenderaan tidak mudah diakses selain memberi penerangan kepada anak-anak mengenai risiko serta akibat tindakan memandu tanpa kelayakan,” katanya.
Nancy berkata demikian ketika ditemui selepas perasmian program Hari Tanggungjawab Korporat Global Maybank 2026 dan Program Cabaran Cahaya Kasih 2026–2027 di Sekolah Menengah Kebangsaan Santubong (SMK), di Santubong, hari ini.
Tegas beliau, sebarang tindakan terhadap ibu bapa termasuk berkaitan kemungkinan unsur pengabaian perlu bergantung kepada fakta dan hasil siasatan polis.
Tegasnya, kesimpulan tidak boleh dibuat terlalu awal kerana setiap kejadian mempunyai keadaan berbeza dan perlu diteliti berdasarkan bukti serta hasil siasatan.
Sementara itu, Nancy berkata, kerjasama Maybank dan Parlimen Santubong memfokuskan pendidikan digital menerusi sumbangan empat Smart TV kepada SMK Santubong.
Kerjasama ini katanya, bukan sesuatu baharu kerana ia turut disalurkan kepada Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) Bandar Baru Samariang pada 2024 dan 2025 bagi menambah baik kemudahan serta persekitaran pembelajaran.
Hadir sama, Pengarah Wilayah Maybank Sarawak, Abang Jamili Abang Julai dan
Penolong Kanan Pentadbiran yang juga Pemangku Pengetua SMK Santubong,
Abdul Manap Pasong. – NORAIDA ABDUL KASSIM / JIWA BAKTI
