Urus modal secara bijak, ekonomi Sarawak kekal produktif

KUCHING: Sarawak menekankan pengoptimuman aset industri dan ekonomi kitaran bagi memastikan aset lebihan terus dimanfaatkan dalam menyokong aktiviti ekonomi negeri.

Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata, pendekatan itu selaras Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) dan rangka kerja kelestarian negeri.

“Aset terbiar merupakan modal yang tidak memberi pulangan kepada negeri.

“Kita perlu bijak menguruskan modal sedia ada supaya kekal aktif dan produktif dalam ekonomi Sarawak,” katanya pada Majlis Pelancaran BidMyAsset Borneo, di sini, hari ini.

Beliau berkata, aset lebihan termasuk peralatan tidak digunakan, jentera lama dan lebihan aset industri perlu diurus secara cekap bagi memastikan modal terus berada dalam kitaran ekonomi.

Menurutnya, usaha kementerian turut meliputi pengeluaran tenaga daripada sisa menerusi teknologi pembakaran sisa melibatkan sisa pepejal perbandaran, kayu, biojisim, sisa haiwan dan sisa industri.

Katanya, potensi tersebut mampu menghasilkan sekurang-kurangnya 1,383 megawatt tenaga bersamaan kira-kira separuh kapasiti Empangan Bakun.

“Jangan persiakan sisa.”

“Melalui pengurusan dan teknologi sesuai sisa boleh menjadi sumber tenaga dan memberi nilai ekonomi kepada Sarawak,” katanya.

Sarawak katanya, merangka pembangunan tiga tapak loji sisa ke tenaga di kawasan Utara, Tengah dan Selatan, yang akan disokong pusat pengumpulan satelit di seluruh negeri.