Biro Pendidikan DUN Satok anjur percubaan UP-DLP

KUCHING: Biro Pendidikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok mengambil inisiatif mengadakan percubaan praUjian Pengajian (UP) Program Dwibahasa (UP-DLP) Sarawak bagi murid tahun enam melibatkan tiga sekolah rendah di kawasan itu.

Sekolah itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Merpati Jepang melibatkan 74 murid, SK Rakyat Haji Bolhassan (64 murid) dan SK Combined (49 murid) membabitkan jumlah keseluruhan 187 murid.

Percubaan pra UP-DLP itu dianjurkan Biro Pendidikan DUN Satok dengan kerjasama sekolah-sekolah berkenaan.

Pengerusi Biro Pendidikan Satok yang juga Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Abdul Samad Gani berkata, inisiatif itu bertujuan membantu sekolah-sekolah meningkatkan prestasi akademik murid dalam kawasan Satok.

“Ia merupakan landasan untuk membantu biro berkenaan dan sekolah menilai tahap pencapaian akademik murid menguasai mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris.

“Ia juga membantu pelajar meningkatkan rasa yakin diri menghadapi peperiksaan UP-DLP dalam situasi sebenar agar mereka tidak gemuruh dan bersedia,” katanya.

Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan PETROS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok Datuk Ibrahim Baki menyantuni calon percubaan UP-DLP di SK Merpati Jepang di sini, hari ini.

Sementara itu, penyelaras program berkenaan mendapat kerjasama daripada mantan guru berpengalaman dalam bidang masing-masing iaitu guru pakar Sains dan bekas pemeriksa kertas soalan Sains peringkat negeri, Rokiah Bujang dan Hajibah Sepawi, Mohamad Yusoff (Bahasa Inggeris) dan Hazellina Bolhassan (aliran perdana dan pendidikan khas).