KUCHING: Borneo Jazz Festival (BJF) 2026 bakal kembali dengan tarikan lebih istimewa sempena edisi ke-20 pada 4 dan 5 Disember akan datang.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, buat pertama kalinya, BJF 2026 akan dianjurkan di tengah bandar raya Miri dengan Pullman Miri Waterfront sebagai lokasi rasmi.
“Bertemakan “Beyond Jazz”, festival menghimpunkan 10 persembahan dari tujuh negara.
“Sementara, tarikan utama adalah ikon muzik Malaysia Dato’ Zainal Abidin yang meraikan 50 tahun dalam industri muzik,” katanya semasa sidang media program tersebut di Baitulmakmur II, di sini, hari ini.
Jelasnya, Zainal Abidin akan bergandingan dengan Julian Chan Jazz Orchestra dalam persembahan khas big band melibatkan 17 pemuzik.
“Turut terlibat Platina Jazz, Brekky Boy, Q Sound, Marter, LaidThis Nite.
“Turut sama Elisha Tiga Eksperiment, Nathanie Ngu, Greg Tan & Ai Furusato, and Matthew Sayersz & Marclesia Karim,”katanya.
BJF 2026 turut menghimpunkan pemuzik antarabangsa dan bakat Borneo, dengan pembangunan bakat diperkasa menerusi kerjasama Berklee Asia Rising.
Turut diadakan Borneo Jazz Fun Run sejauh lima kilometer, manakala tiket mula dijual pada 3 Oktober 2026.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Snowdan Lawan, Pengerusi Sarawak Tourism Board (STB) Datuk Dennis Ngau dan Ketua Pegawai Eksekutif STB Dr. Sharzede Datu Salleh Askor.- NORAIDA ABDUL KASSIM / JIWA BAKTI
