SPAOH: Seramai 150 pekebun lada di Betong menerima bantuan berjumlah RM1.2 juta bagi menyokong pengurusan dan pembangunan tanaman lada di kawasan berkenaan.
Bantuan tersebut disampaikan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas bersama Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad pada perasmian Seminar Kemampanan Industri Lada di Dewan Masyarakat Spaoh, hari ini.
Daripada jumlah itu, RM772,000 disalurkan kepada 73 pekebun menerusi Bantuan Penanaman Lada Premium, manakala RM430,200 disalurkan kepada 77 l pekebun bagi kategori Bantuan Pengurusan Tanaman Lada Matang.
Turut diserahkan ialah Bantuan Fasiliti dan Kemudahan Ladang berbentuk pelerai lada dan spiral separator, serta Bantuan Pengukuhan Kemudahan Peralatan Ladang melibatkan mesin pemotong rumput dan penyembur cecair bermotor.
Dalam ucapannya, Uggah merakamkan penghargaan kepada Kementerian Perladangan dan Komoditi atas pelbagai bantuan yang diberikan bagi menyokong pembangunan industri komoditi di Sarawak, termasuk industri kelapa sawit, lada hitam dan koko.
Beliau berkata, industri lada merupakan antara sektor penting yang menyumbang kepada ekonomi Sarawak, namun pekebun kini berdepan peningkatan kos pengeluaran termasuk harga baja masalah penyakit tanaman dan racun perosak.
Sehubungan itu, beliau berharap Kementerian Perladangan dan Komoditi m mempertimbangkan peningkatan bantuan subsidi diesel kepada pekebun kecil di Betong.
Seminar itu turut menyediakan taklimat termasuk Program Kemampanan Penanaman Lada (PKPL), Teknologi dan Inovasi Lada serta Kawalan Racun Perosak dan Baja, selain pameran agensi-agensi di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi.
Turut hadir, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Dato’ Sri Huang Tiong Sii, Ahli Parlimen Baram merangkap Pengerusi Lembaga Lada Malaysia Dato Anyi Ngau serta Ahli Parlimen Betong Dato Dr. Richard Rapu.
