SIBU: Kerajaan Sarawak terus memberi penekanan kepada usaha meningkatkan pendapatan isi rumah menerusi pendekatan bersasar, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapa’ee
Beliau berkata, langkah itu turut membantu golongan berkemahiran menjana pendapatan melalui perniagaan.
Katanya, bantuan kepada individu berkemahiran lebih berkesan sekiranya dijadikan modal permulaan untuk mengembangkan perniagaan.
“Pendekatan itu penting bagi memastikan penerima bukan sekadar menerima bantuan, tetapi mampu berdikari dan meningkatkan pendapatan keluarga, terutama dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup.
“Setiap perniagaan mempunyai risikonya tersendiri, tetapi apabila seseorang sudah mempunyai kemahiran, risikonya adalah lebih minimum,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Sejahtera MADANI Fokus Peningkatan Pendapatan ICU JPM Sarawak Zon Sibu di Dewan LAKIS, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu berkata, pendekatan itu selari aspirasi PCDS 2030 untuk meningkatkan pendapatan isi rumah kepada RM15,000, selain usaha meningkatkan pendapatan isi rumah.
Beliau berkata, pendidikan tinggi turut menjadi pelaburan penting Kerajaan Sarawak bagi meningkatkan pendapatan rakyat dengan membuka peluang memperoleh kelayakan dan pekerjaan yang lebih baik.
Dr Annuar turut mengingatkan penerima supaya tidak bergantung kepada bantuan kerajaan secara berterusan, sebaliknya menggunakan bantuan sebagai langkah pertama membina perniagaan dan mencapai matlamat lebih besar.
Program berkenaan menyediakan bantuan peralatan secara one-off berjumlah RM180,000 keseluruhan kepada 36 ahli isi rumah berstatus miskin yang berdaftar dalam sistem eKasih, membabitkan pelajar dan alumni Kolej Vokasional Sibu.
