KUCHING: Persiapan Sarawak bagi penganjuran Sukan SEA berjalan lancar apabila hampir kesemua 11 venue yang sedang dinaik taraf dilaporkan mendahului jadual, kata Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Jelas beliau, antara yang mendahului jadual adalah Stadium Negeri Sarawak yang bakal menjadi lokasi upacara perasmian.
“Lebih 4,000 atlet dijangka menyertai temasya membabitkan 11 negara, tidak termasuk pegawai kontinjen.
“Berbeza dengan Sukan Malaysia (SUKMA) yang menggunakan konsep perkampungan sukan, atlet Sukan SEA akan ditempatkan di hotel-hotel terpilih,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Kiraan Detik Setahun Menjelang Sukan SEA 2027 di pusat beli belah The Spring, di sini, malam ini.
Tambah Abdul Karim, langkah penempatan itu bagi memastikan keselesaan mereka, dengan kapasiti penginapan sedia ada diyakini mencukupi.
Pada masa sama, pembinaan Pusat Penyiaran Antarabangsa (IBC) bersebelahan Bangunan Baitulmakmur turut dilaporkan mendahului jadual, ujarnya.
“Pusat itu akan mengendalikan penyiaran dan maklumat, selain menyediakan penterjemah serta pegawai perhubungan,”katanya.
Sementara itu, mengulas tentang pemilihan atlet, ujarnya, pemilihan atlet Malaysia, termasuk dari Sarawak, akan dibuat oleh persatuan sukan berdasarkan merit.
Turut hadir Pengerusi Sekretariat Sukan SEA 2027 (Kluster Sarawak) , Datu Hii Chang Kee, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr. Ripin Lamat dan Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Azizul Annuar Adenan.- NORAIDA ABDUL KASSIM / JIWA BAKTI
