Kerajaan GPS laksana pelbagai inisiatif, lahirkan modal insan berkualiti

KUCHING: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyediakan sistem sokongan menyeluruh kepada keluarga dan anak tempatan dalam usaha mensejahterakan kehidupan rakyat.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, bantuan seumpama itu disalurkan bermula daripada kelahiran, pendidikan awal kanak-kanak sehingga melanjutkan pengajian ke institut pengajian tinggi (IPT).

Antara inisiatif berkenaan ialah Bantuan Ibu Bersalin (BIB) sebanyak RM450 serta Endowment Fund Sarawak (EFS) berjumlah RM1,000 dalam bentuk simpanan bagi setiap anak Sarawak yang memenuhi syarat kelayakan, kata beliau.

“Sokongan itu diteruskan apabila kanak-kanak memasuki pendidikan awal menerusi Subsidi Yuran Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak (PAKK) sehingga RM1,000 setahun bagi setiap kanak-kanak yang ditempatkan di Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) dan Taman Didikan Kanak-kanak (Tadika) swasta berdaftar di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Prihatin Komuniti My Little Moments 2026 di Kubah Ria, di sini, hari ini.

Fatimah menjelaskan,
Kerajaan Sarawak turut menyediakan Geran Tahunan Khas (GTK) RM5,000 kepada institusi pendidikan awal kanak-kanak berdaftar bagi meningkatkan kualiti penjagaan dan pendidikan.

Di peringkat pendidikan tinggi pula katanya, sistem sokongan itu diperluaskan menerusi Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) yang dilaksanakan mulai 2026.

Untuk itu katanya, Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM250 juta bagi pelaksanaan FTES pada 2026 bagi membantu anak Sarawak mengikuti program yang ditetapkan di IPT milik kerajaan negeri.

Pendekatan tersebut memperlihatkan tumpuan Kerajaan GPS terhadap pembangunan modal insan dan kesejahteraan keluarga melalui sokongan yang merangkumi pelbagai peringkat kehidupan anak Sarawak.

Hadir sama Setiausaha Politik Premier Sarawak. Dr Dayang Nurfizawati Abang Abdul Karim, Datuk Bandar Kuching Utara, Dato Hilmi Othman, Pengarah My Little Moments dan Pengarah Kumpulan Syarikat Farley, Eijing Lau, Pengarah Jualan Kumpulan Farm Fresh Berhad, Ding Chai Thong, Ketua Pegawai Komersial yang juga Pengasas MILK, John Teoh serta Pengarah Urusan Pigeon Malaysia, Maya Yoshimura serta wakil Pusat Khidmat Tupong.