Sumbangan RM30,000 bantu 100 keluarga

KUCHING: Seramai 100 keluarga menerima barangan keperluan bernilai keseluruhan kira-kira RM30,000 menerusi Program Prihatin Komuniti My Little Moments 2026.

Pengarah My Little Moments yang juga Pengarah Kumpulan Syarikat Farley, Eijing Lau berkata, setiap keluarga menerima barangan keperluan bernilai kira-kira RM300 hasil sumbangan pelbagai pihak.

“Program ini hasil kerjasama kami dengan syarikat Farmfresh, Milk dan Pigeon.

“Kesemua penerima dikenal pasti dengan kerjasama Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tupong dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak.

“Ini bagi memastikan bantuan disalurkan kepada keluarga yang benar-benar memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan pada program penyampaian sumbangan di My Little Moment di, jalan Kubah di sini, hari ini.

Program penyampaian sumbangan disempurnakan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak- Kanak dan Pembangunan Wanita Sarawak, Dato’ Sri Fatimah Abdullah.

Program bertemakan “Tindakan Kecil, Impak Besar, Bersama Kita Lebih Kuat” itu membawa mesej usaha kecil secara bersama mampu membawa perubahan bermakna kepada komuniti.- NORAIDA ABDUL KASSIM / JIWA BAKTI