Pesta Limbang 2026 bakal tarik 15,000 pengunjung

LIMBANG: Pesta Limbang 2026 yang mempromosikan Limbang sebagai venue regata dan bot laju dijangka menarik lebih 15,000 orang pengunjung sehingga Ahad ini.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, ini kerana acara itu menerima sambutan luar biasa daripada pengunjung sekitarnya termasuk dari Brunei dan Lawas.

“Saya percaya empat hari penganjuran Pesta Limbang bermula Khamis hingga Ahad ini, pengunjung yang datang mencecah sehingga 15,000 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika perlumbaan bot laju dan penyampaian hadiah Pesta Limbang yang juga dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang di Dataran Tebingan Limbang, di sini, petang semalam.

Dr Abdul Rahman yang juga ADUN Bukit Kota berkata, sambutan luar biasa ini akan memberi semangat kepada pihaknya untuk menganjurkan pesta ini pada masa akan datang.

“Pesta Limbang ini inisiatif penting mempromosikan Daerah Limbang sebagai pintu masuk utama pelancongan di kawasan utara Sarawak,”tambahnya.

Beliau menjelaskan, kalo terakhir Pesta Limbang diadakan pada 2017.

Acara diadakan termasuk pertandingan bot laju, perlumbaan perahu bidar, perlumbaan perahu naga, malam kebudayaan, gerai jualan, cabutan bertuah dan aktiviti menarik lain.