Perantis Pendaya bimbing usahawan wanita Dayak

KUCHING: Program Perantis Pendaya 2.0 menyediakan latihan praktikal dan bimbingan mentor kepada usahawan wanita Dayak bagi membantu mengurus serta mengembangkan perniagaan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, pendekatan program itu disesuaikan dengan persekitaran, budaya dan potensi usahawan wanita Dayak di Sarawak.

“Perantis Pendaya 2.0 bukan sekadar menyuntik motivasi, tetapi menyediakan latihan praktikal dan bimbingan mentor untuk membantu peserta mengembangkan perniagaan masing-masing,” katanya

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Perantis Pendaya 2.0, Memperkasa Usahawan Wanita Dayak Untuk Kepimpinan, Skala & Kelestarian, di sini, hari ini.

Program berkenaan turut membimbing peserta menyediakan Pelan Tindakan 90 Hari yang menetapkan sasaran serta langkah khusus selepas mengikuti program.

Katanya, sehingga 2024 seramai 1,247 peserta menerima bimbingan daripada 25 tokoh wanita menerusi PERANTIS dalam 10 bidang termasuk kepimpinan, ekonomi, teknologi, pendidikan dan kesihatan.

Pada 2025, pelaksanaan program itu menerima peruntukan RM5 juta dengan penglibatan 100 tokoh wanita dan lebih 4,000 peserta manakala RM4 juta diperuntukkan tahun ini bagi meneruskan program pembangunan kepimpinan wanita.

“Peserta perlu menggabungkan identiti dan warisan budaya Dayak yang unik dengan teknologi serta pemasaran moden supaya produk tempatan mempunyai ruang menembusi pasaran yang lebih luas,” tambahnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Nancy berkata kira-kira 3,000 peserta menyertai Program PERANTIS di seluruh negara tahun ini manakala pihaknya berharap jumlah itu dapat ditambah pada tahun hadapan.

Beliau mahu lebih banyak produk unik diketengahkan melalui program itu, termasuk hasil berkaitan muzik, orkestra, seni serta produk yang membawa elemen etnik dan kebudayaan tempatan.

Menurutnya, produk seperti beg berunsurkan etnik dan hasil lukisan yang mengangkat kebudayaan menunjukkan potensi kreativiti peserta untuk diketengahkan melalui platform keusahawanan wanita.