Pesta Limbang 2026 buka ruang perluas pasaran kepada industri, usahawan

LIMBANG: Pesta Limbang 2026 mampu perkukuhkan Limbang sebagai pusat perdagangan bagi memperluas dan meneroka peluang pasaran baharu di utara Sarawak.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata ini selaras kedudukan strategik Limbang dalam Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam–Indonesia–Malaysia–Filipina (BIMP-EAGA) yang bersempadan Brunei dan berjiran Kalimantan, Indonesia serta Sabah, Labuan.

“Selain mempromosikan kebudayaan, makanan dan produk tempatan, pesta ini juga membuka ruang kepada pemain industri serta usahawan tempatan untuk memperluaskan perniagaan dan meneroka peluang pasaran baharu,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pada Majlis Perasmian Pesta Limbang 2026 di Dataran Tebingan Sungai Limbang, di sini, hari ini.

Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak Kedua berkata selaim itu, perunding telah dilantik bagi menyediakan pelan tempatan untuk pembangunan Limbang dan Lawas bersama Agensi Pembangunan Wilayah Utara(NRDA).

Katanya pelan ini akan menjadi garis panduan bagi mengukuhkan kerjasama dan saling melengkapi berdasarkan kekuatan dua kawasan ini dengan Brunei, Kalimantan Indonesia, Sabah, Labuan dan keseluruhan kawasan bawah BIMP-EAGA.

Menurutnya lagi, pelan tempatan itu juga mengenal pasti serta mengoptimumkan potensi sumber dan kedudukan strategik kedua kawasan berkenaan dengan mengambil kira pelaksanaan projek infrastruktur utama.

Katanya ini termasuk Sarawak-Sabah Link Road (SSLR), Lebuhraya Pesisir Utara (NCH) dan Lebuhraya Trans-Borneo, selain usaha meningkatkan kemudahan bekalan elektrik, air serta sistem telekomunikasi.