KUCHING: Kementerian, jabatan dan agensi kerajaan Sarawak kini mempunyai panduan khusus bagi memperkemaskan penyediaan cadangan perundangan sebelum dikemukakan kepada Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak (SAGC).
Peguam Besar Negeri Sarawak, Dato Sri Saferi Ali berkata, Manual Penggubalan Perundangan Sarawak menyediakan panduan praktikal mengenai keperluan serta maklumat yang perlu disediakan dalam proses penggubalan undang-undang negeri.
Katanya, manual itu turut membantu mengurangkan keperluan mendapatkan maklumat tambahan daripada jabatan yang mengemukakan cadangan perundangan.
“Dengan adanya manual ini, kementerian dan jabatan akan memahami perkara yang diperlukan, bagaimana sesuatu undang-undang perlu digubal dan bagaimana ia perlu dirangka,” katanya pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Apresiasi Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak 2026, malam tadi.
Menurutnya, manual berkenaan turut menggariskan prinsip dan amalan penggubalan undang-undang bagi memastikan proses lebih konsisten, tersusun dan sistematik.
Beliau berkata, pembangunan kapasiti warga SAGC turut diberi perhatian, termasuk dalam bidang teknologi digital, undang-undang alam sekitar dan ekonomi hijau serta peluang melanjutkan pengajian.
Majlis turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Sri Fong Joo Chung dan Timbalan Peguam Besar Negeri Sarawak, Datuk John Wayne Chamberlin Sirau.
