BETONG: Program Sarawakku Sayang 2026 Zon Tengah Bahagian Betong menyasarkan kehadiran sehingga 115,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Unggah Embas berkata, program yang berlangsung mulai 25 hingga 27 September itu menghimpunkan 48 agensi membabitkan 158 jenis perkhidmatan untuk masyarakat.
“Penganjur berharap program tersebut dapat mencatat rekod kehadiran baharu memandangkan jaringan jalan raya yang semakin baik kini memudahkan masyarakat dari pelbagai kawasan untuk berkunjung ke Betong,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.
Majlis perasmian pada 26 September itu dijangka disertai sekitar 7,000 rakyat, selain penglibatan masyarakat dari Sri Aman, Sibu dan kawasan pedalaman.
“Selain hadiah utama, terdapat tujuh lagi hadiah menarik termasuk dua motosikal, pakej percutian ke Kuala Lumpur, gajet termasuk telefon pintar, peralatan sukan serta pelbagai peralatan elektrik dan rumah,” tambahnya.
Program turut menampilkan Malam Budaya Sarawak pada 25 September dan Konsert Rakyat pada 26 September dengan persembahan artis tempatan.
Pada 27 September, acara larian lima kilometer turut diadakan dengan penyertaan kini mencecah 1,000 peserta, manakala cabutan bertuah menawarkan hadiah utama sebuah Perodua Bezza 1.3X.
