LUNDU: Kira-kira 200 ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N3 Tanjong Datu menyertai Seminar Pemerkasaan Parti PBB Tanjong Datu di Pusat Latihan Bajo SALCRA di sini, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Pehin Sri Adenan berkata seminar dari 9 pagi hingga 5 petang itu melibatkan Badan Induk, Pergerakan Wanita, Pemuda dan Ketua-Ketua Ranting.
“Saya tidak mahu rakyat melihat PBB sebagai parti elite tapi biarlah parti yang dekat dengan rakyat,” katanya semasa berucap sempena Seminar Pemerkasaan PBB N3 Tanjong Datu, di sini, hari ini.
Azizul Annuar berkata, perubahan nama kawasan daripada N3 kepada N5 Tanjong Datu tidak mengubah kawasan Daerah Mengundi di Tanjong Datu.
“Saya berharap jentera parti di Tanjong Datu terus diperkasakan dan dapat meningkatkan lagi peratusan keluar mengundi pada PRN akan datang,” tambahnya.
Seminar itu merangkumi tiga sesi berkaitan persediaan pilihan raya, perancangan ekonomi dan pemerkasaan jentera Parti PBB di Tanjong Datu.
Sehubungan itu, Azizul Annuar berharap kerjasama, komunikasi dan kesiapsiagaan jentera menghadapi PRN akan datang diberi keutamaan.
