Teruskan momentum prestasi SPM SMK Sebauh

SEBAUH: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sebauh diharap dapat meneruskan momentum peningkatan prestasi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekolah berkenaan.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Gred Purata Negeri (GPN) sekolah itu bertambah baik daripada 5.29 pada 2024 kepada 5.19 tahun lalu.

Katanya, peningkatan itu turut disokong peratus calon yang layak menerima sijil SPM daripada 93.88 peratus pada 2024 kepada 94.89 peratus pada 2025.

“Saya berharap momentum peningkatan prestasi SMK Sebauh dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang, dengan kerjasama antara sekolah, pelajar dan ibu bapa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis penangguhan Program Outreach Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) 2026 di SMK Sebauh di sini, hari ini.

Selain itu, Roland Sagah berkata pencapaian SPM di peringkat Sarawak turut menunjukkan peningkatan apabila GPN negeri bertambah baik daripada 4.84 pada 2024 kepada 4.79 pada 2025.

Menurutnya, peningkatan 0.05 mata itu mencerminkan perkembangan positif hasil usaha berterusan untuk memperkukuh kualiti pendidikan di seluruh negeri.

“Walaupun masih terdapat ruang untuk penambahbaikan, perkembangan ini menggalakkan dan menunjukkan kepentingan usaha berterusan dalam memperkukuh hasil pendidikan,” katanya.