DARO: Pemimpin peringkat akar umbi harus melaksanakan tanggungjawab demi kesejahteraan dan keharmonian masyarakat.
Dalam hal ini, pemimpin masyarakat perlu bijak mengurus setiap isu atau permasalahan yang timbul di kampung masing-masing bagi memenuhi keperluan dan kepentingan penduduk secara menyeluruh.
Demikian ucapan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal-Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol semasa menyempurnakan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pusat Khidmat ADUN Semop 2024 di Dewan Masyarakat Kampung Tekajong, Pulau Bruit, baru-baru ini.
Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop mengambil peluang beramah mesra dengan penduduk kampung yang hadir di samping menjamu pelbagai juadah yang disediakan.
Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan hiburan dan cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik.
Pada tahun ini, Majlis Rumah Terbuka Pusat Khidmat ADUN Semop diadakan secara berpusat di enam zon melibatkan zon utara dan selatan Pulau Bruit, zon Paloh, zon Serdeng, zon Tanjung Bundung termasuk zon Kampung Melayu Bintangor yang mana setiap kampung berpeluang menjadi tuan rumah mengikut giliran.
