Latihan penjaga profesional bakal diperluas kepada lepasan sekolah

KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) meletakkan sasaran kira-kira 50,000 penjaga berkemahiran dan diiktiraf profesional menjelang 2030 bagi memenuhi permintaan pasaran domestik dan antarabangsa.

Menterinya, Dato Sri Nancy Shukri berkata, latihan khas itu bagi memastikan setiap penjaga mempunyai kelayakan bertauliah dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan berkualiti tinggi.

“Fokus latihan pada peringkat awal tertumpu kepada kakitangan di bawah institusi kementerian, sebelum dibuka kepada orang awam termasuk lepasan sekolah.

“Bagi tahun ini sahaja, sasaran kita adalah seramai 2,000 orang, berbanding 885 yang dilatih. Kini, kita memperluaskan peluang ini kepada mereka di luar institusi kementerian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang 2026 Sekolah Menengah Teknik Sejingkat, di sini hari ini.

Nancy yang juga Ahli Parlimen Santubong menjelaskan, inisiatif tersebut turut dihubungkan dengan Rang Undang-Undang Pekerja Sosial yang diluluskan agar kumpulan ini diiktiraf sebagai pekerja sosial.

Nancy berkata, keperluan terhadap penjaga terlatih semakin mendesak, terutamanya dalam menguruskan golongan warga emas, Orang Kelainan Upaya (OKU), serta kanak-kanak.

Justeru, latihan yang disediakan bukan sekadar kemahiran asas, malah merangkumi teori dan praktikal seperti pemeriksaan tekanan darah, pemantauan kadar gula, serta pengurusan penjagaan secara menyeluruh.

Bagi mencapai sasaran besar tersebut, KPWKM turut bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk menawarkan saluran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).