KUCHING: Persidangan Pendidikan Alam Sekitar 2026 menyasarkan penerapan konsep kelestarian dan tema alam sekitar dalam sekolah, kurikulum, program serta aktiviti kokurikulum.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kedua Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pendidikan alam sekitar perlu memberi pengetahuan dan kemahiran yang relevan kepada generasi masa depan.
“Persidangan ini bertujuan melengkapkan generasi masa depan dengan pengetahuan, nilai dan kemahiran bagi menangani cabaran alam sekitar serta kelestarian,” katanya pada sidang media Persidangan Pendidikan Alam Sekitar 2026, di sini, hari ini.
Persidangan yang berlangsung pada 27 dan 28 Oktober di Hotel Imperial, di sini memberi penekanan kepada pendekatan pembelajaran alam sekitar secara pengalaman dan berasaskan tempat.
Persidangan itu turut menyasarkan peningkatan kemahiran pendidik dan pengamal dalam pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman, tempat serta pendidikan alam sekitar secara rentas disiplin.
Antara hasil yang disasarkan ialah peningkatan pengetahuan berkaitan kelestarian alam sekitar, perubahan iklim dan keutamaan alam sekitar Sarawak.
Lima sesi pleno akan membincangkan pelbagai pendekatan pendidikan alam sekitar, termasuk trend global, kaedah inovatif dan pembentukan masa depan yang lestari.
“Kita juga mahu menggalakkan penerapan konsep kelestarian dan tema alam sekitar dalam sekolah, kurikulum, program serta aktiviti kokurikulum,” tambahnya.
Persidangan tersebut turut menyediakan ruang pertukaran pengetahuan dan pendedahan teknikal kepada pendidik, institusi serta pengamal dalam bidang pendidikan alam sekitar.
Ia dijangka menghasilkan input asas dan cadangan strategik bagi membimbing fasa seterusnya proses pembangunan pendidikan alam sekitar. – AYLA MEDINA/ JIWA BAKTI
