50 unit RSP siap dibina di SPK Gedong

GEDONG: Sebanyak 50 unit Rumah Spektra Permata (RSP) menerusi pembangunan Skim Pembesaran Kampung (SPK) Gedong, Samarahan kini siap dibina bagi fasa pertama.

Menurut hantaran facebook Media Gedong, projek di bawah Kerajaan Sarawak itu dilaksanakan dengan Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) Sarawak sebagai agensi pelaksana, dengan kerja pembinaan bermula 11 Disember 2023.

Projek berkenaan dikendalikan kontraktor BWS Engineering Sdn Bhd bersama barisan perunding profesional tempatan Sarawak.

Pembangunan perumahan seperti ini bukan sahaja menyediakan kediaman, malah berpotensi menyumbang kepada pertumbuhan kawasan Gedong serta memberi peluang kepada lebih ramai keluarga untuk memiliki tempat tinggal selesa.

Inisiatif ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N26 Gedong untuk memastikan rakyat memiliki kediaman selesa dan mampu milik di kawasan sendiri.

Keluasan binaan 871.87 kaki persegi, dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air selesa untuk keluarga muda.

Dibina di atas tanah seluas kira-kira 11 point, dengan pelan pengembangan pra-lulus sehingga 1,365 kaki persegi.

Menggunakan teknologi pembinaan Industrialised Building System (IBS) yang lebih kukuh, cepat dan berkualiti tinggi.

Menawarkan pilihan konfigurasi rumah berkuasa solar seperti model Saphire yang membolehkan pemilik menjana elektrik sendiri dan menjimatkan bil dengan menjual lebihan tenaga kepada SESCO.

Pembeli rumah pertama yang layak dari kumpulan B40 dan M40 boleh memohon bantuan deposit melalui Skim Bantuan Deposit Perumahan (HDAS) menerusi Mutiara Mortgage & Credit Sdn Bhd (anak syarikat HDC) sehingga RM10,000.

Dengan siapnya projek ini, diharapkan kawasan sekitar terus berkembang dari segi kemudahan, infrastruktur dan komuniti, sekali gus menjadi sebahagian daripada pembangunan masa depan Gedong dan kawasan Samarahan.