AI Sarawak diuji menerusi kerjasama UNIMAS, Singularity Connect

KUALA LUMPUR: Kerjasama selama 24 bulan antara UNIMAS Holdings Sdn Bhd (UHSB) dan Singularity Connect Sdn Bhd akan menguji penyelesaian kecerdasan buatan (AI) bagi keperluan industri, komuniti dan sektor awam di Sarawak.

Ketua Pegawai Eksekutif UNIMAS Holdings Sdn Bhd, Syahrizan Junaini berkata peranan mereka untuk menghubungkan pengetahuan penyelidikan dengan peluang sebenar dalam industri dan komuniti.

“Kami mahu mengenal pasti masalah sebenar, menghubungkan penyelidik serta rakan teknologi yang tepat dan membangunkan penyelesaian AI yang boleh diuji di Sarawak,” katanya menerusi kenyataan media, di sini, hari ini.

Kerjasama itu menyatukan keupayaan pembangunan serta tadbir urus AI Singularity Connect dengan kepakaran penyelidik, kemudahan dan bakat Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Singularity Connect Sdn Bhd, Ahmad Fauzi Ali berkata kerjasama ini memberi pendekatan praktikal untuk menukar penyelidikan dan keperluan sebenar kepada penyelesaian AI yang boleh diuji serta diukur.

“Dengan bermula di Sarawak, kita dapat mengenal pasti perkara yang berkesan secara tempatan sebelum meneroka penggunaannya secara lebih meluas di Malaysia,” katanya.

Antara bidang awal yang dipertimbangkan termasuk pengurusan biodiversiti dan sumber asli, penjagaan kesihatan, pendidikan, pertanian, komuniti mampan, operasi kampus pintar serta pendigitalan perniagaan.

Kerjasama itu turut membuka peluang kepada pelajar dan penyelidik menerusi projek industri, latihan industri, pertukaran serta latihan, dengan setiap projek perlu mengambil kira tadbir urus data, privasi, keselamatan siber, pengawasan manusia dan akauntabiliti sebelum pelaksanaan.

Kedua-dua pihak turut bertukar Memorandum Persefahaman (MoU) tidak eksklusif pada URIIS 2026 dengan aspek pembiayaan, harta intelek, akses data, terma komersial dan pelaksanaan projek tertakluk kepada kelulusan serta perjanjian berasingan jika diperlukan. – AYLA MEDINA/ JIWA BAKTI