KUCHING: Kepentingan dan keperluan kanak-kanak perlu menjadi keutamaan dalam setiap dasar, perkhidmatan serta amalan pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak (ECCE) di negeri ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, berkata pendekatan itu penting bagi memastikan setiap perkhidmatan dan inovasi yang diperkenalkan memenuhi keperluan golongan itu.
“Dalam setiap dasar yang kita gubal, perkhidmatan yang kita reka, amalan di bilik darjah yang kita perkenalkan dan setiap inovasi yang kita gunakan, kanak-kanak mesti diutamakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Konvensyen Antarabangsa Prasekolah Sarawak (SPIC) 2026 di sini, hari ini.
Perasmian itu dilakukan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Menurutnya, pemahaman mengenai perkembangan kanak-kanak, keterangkuman dan intervensi awal terus berkembang, justeru sistem ECCE tidak boleh kekal statik.
Sebaliknya, katanya, sistem berkenaan perlu sentiasa ditambah baik bagi memastikan pendekatan pendidikan dan penjagaan yang dilaksanakan kekal relevan dengan keperluan semasa kanak-kanak serta keluarga.
Sementara itu, seramai 29 Pembantu Intervensi Awal di Pusat Intervensi Awal Sehenti (OSEIC) dijangka menamatkan Program Sijil Eksekutif bersama Institut Pemindahan Teknologi Australia (AITT) menjelang Oktober ini.
