LUNDU: Regata Batang Kayan kini menjadi acara kemuncak yang mengetengahkan keunikan serta jiwa masyarakat Lundu kepada pelawat dari dalam dan luar negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Pehin Sri Adenan berkata, penganjuran regata tahun ini memberi fokus strategik kepada beberapa teras utama pembangunan daerah Lundu sebagai destinasi pelancongan utama.
“Penganjuran acara itu turut memanfaatkan keindahan alam semula jadi dan warisan budaya bagi menarik lebih ramai pelancong domestik serta antarabangsa ke daerah berkenaan.
“Usaha ini membuka peluang kepada usahawan tempatan, peniaga kecil, pengusaha produk kraf tangan dan makanan tradisional untuk menjana pendapatan melalui kehadiran pengunjung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mewakili Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah merasmikan Regata Batang Kayan 2026 di sini, hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar merangkap Penaung Bersama Jawatankuasa Induk Regata Batang Kayan, Billy Subang; Residen Bahagian Kuching, Dayang Joanita Azizah Morshidi; Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Abang Abdul Aziz Datuk Draup dan Niponi Undek; serta Pegawai Daerah Lundu, Zulkarnain Ismail.
