BETONG: Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Betong menyasarkan kehadiran lebih 120,000 pengunjung yang bemula pada hari ini.
Majlis Praperasmian SKS Bahagian Betong disempurnakan Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu di Kompleks Sukan Betong, hari ini.
Menurut Gerald, program berkenaan turut berperanan sebagai platform sehenti bagi memudahkan rakyat mendapatkan maklumat berkaitan perkhidmatan kerajaan, termasuk penggunaan aplikasi digital seperti Sarawak ID.
“Ini penting kerana kita mahu SKS menjadi pusat sehenti untuk memberikan maklumat kepada rakyat.
“Kalau ada apa-apa aduan atau masalah, kita boleh ambil tindakan dengan lebih cepat, terutamanya dalam aspek pendigitalan kerana sekarang menggunakan aplikasi baharu seperti Sarawak ID,” katanya ketika ditemui media.
Sementara itu, Gerald menyambut penganjuran Klinik Tinju sempena SKS Bahagian Betong sambil berkata, usaha itu untuk memperluaskan kumpulan bakat atlet tinju di Sarawak, selain menarik lebih ramai generasi muda.
Ujar beliau, pembentukan kumpulan bakat yang lebih besar penting bagi membolehkan Sarawak melahirkan lebih ramai atlet berpotensi serta mengisi pelbagai kategori pertandingan.
“Kita ingin melihat lebih banyak pool talent atlet kita supaya sukan tinju dapat meningkat. Kalau kita lihat pada SUKMA yang lepas, kita tidak mencapai sasaran kerana negeri-negeri lain juga telah meningkat.
“Jadi kita inginkan lebih ramai atlet kita yang berkecimpung dalam sukan ini. Daripada kumpulan bakat yang lebih besar itu, barulah kita dapat mengisi semua kategori seperti featherweight, bantamweight dan sebagainya,” katanya.
Katanya, Klinik Tinju itu turut memberi peluang kepada masyarakat mengenali dan bertemu ikon-ikon sukan, sekali gus menarik minat generasi muda untuk menceburi sukan berkenaan.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Felicia Tan Ya Hua, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee, Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU), Datu Ir. Ts. Awang Mohd Fadillah Awang Redzuan, Pengarah Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak, Sapiah Daud, Pengarah Unit Digitalisasi Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSDU), Datu Grace Huong Siew Hung, Residen Bahagian Betong, Datu Richard Michael Abunawas dan isteri Setiausaha Kerajaan Sarawak, Dato Baduyah Bujang. – UKAS
