BETONG: Pembinaan STOLport Bebuling, Spaoh berpotensi menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi Betong.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kemudahan berkenaan berpotensi memperluaskan hubungan Betong dengan kawasan lain, selain membuka ruang kepada produk tempatan menembusi pasaran di luar bahagian.
Menurut beliau, lapangan terbang pendek itu menyokong pergerakan penumpang, sekali gus meningkatkan keterhubungan kawasan berkenaan.
“STOLport Bebuling bukan sahaja berpotensi membawa barangan tempatan ke luar Betong, malah berpotensi l membawa penumpang, sekali gus meningkatkan hubungan antara Betong dengan kawasan lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan ke Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Betong 2026 di Kompleks Sukan Betong, di sini, hari ini.
Uggah berkata, kekuatan ekonomi Betong turut disokong oleh kegiatan pertanian masyarakat, khususnya penanaman lada dan kelapa sawit yang menjadi antara sumber ekonomi penting kawasan berkenaan.
Mengenai Program SKS Bahagian Betong, beliau berkata, ia platform kepada masyarakat dan pengunjung untuk mendapatkan maklumat berkaitan perkhidmatan kerajaan, selain mengetengahkan produk, kemahiran dan potensi ekonomi tempatan.
Dalam lawatan tersebut, Uggah turut meninjau gerai jualan Betong Kitchen & Sales bagi melihat produk dan hasil tempatan yang diketengahkan, selain menyempurnakan penyerahan sijil penyertaan kepada 15 peserta Demonstrasi Anyaman Bakul. – UKAS
