Anugerah Buku Terbaik Premier Sarawak angkat khazanah ilmu, identiti tempatan

KUCHING: Anugerah Buku Terbaik Premier Sarawak menjadi antara usaha Kerajaan Sarawak mengiktiraf karya yang mengangkat sejarah, identiti, budaya dan kearifan tempatan.

Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, penulisan penting dalam mendokumentasikan perjalanan serta pengalaman masyarakat Sarawak.

“Sejarah kita perlu didokumentasikan, budaya kita perlu dirakamkan dan pengalaman masyarakat kita perlu diangkat supaya generasi akan datang memahami perjalanan yang telah kita lalui,” katanya.

Majlis ini juga menyaksikan penyampaian Anugerah Buku Terbaik Premier Sarawak 2024/2025 bagi kategori Terbitan Penerbit Luar dimenangi buku Etnik Bidayuh dan Bale Gambang Baruk Identiti Tradisi dan Perubahan karya Charlie Ungang dan Awang Azman Awang Pawi terbitan Universiti Malaya pada 2024 dengan hadiah wang tunai RM10,000 manakala kategori Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka dimenangi buku Lada Hitam Permata Sarawak karya Izzah Abd Hamid Ghazali dan Wan Asrina Wan Yahya yang turut diterbitkan pada 2024 dengan hadiah wang tunai RM15,000.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Majlis Penyampaian Anugerah Buku Terbaik Premier Sarawak 2024/2025, di sini, malam ini.

Katanya, kemajuan Sarawak bukan hanya diukur melalui pembangunan fizikal dan nilai ekonomi tetapi turut melalui tahap pemikiran rakyat serta kekuatan institusi ilmu.

Menurutnya, buku menjadi wahana membentuk pemikiran, merakam pengalaman dan membina peradaban selain membolehkan ilmu diwariskan kepada generasi seterusnya.

Beliau berkata, peningkatan jumlah hadiah bagi anugerah berkenaan mencerminkan keyakinan Kerajaan Sarawak terhadap penulisan dan penerbitan sebagai pelaburan strategik dalam pembinaan masyarakat berilmu.

“Masih banyak sisi sejarah Sarawak belum dirakam dan masih banyak pengalaman kehidupan mempunyai nilai tersendiri yang belum diterokai sepenuhnya,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau berharap penulis terus menghasilkan karya berkualiti dengan menampilkan sejarah dan budaya Sarawak dari perspektif masyarakat tempatan.

Beliau turut berharap Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak meneruskan kerjasama dengan institusi pendidikan, universiti, penerbit dan persatuan penulis dalam membina ekosistem penulisan serta penerbitan.

Katanya, karya yang dihasilkan di Sarawak bukan sahaja perlu dibaca masyarakat tempatan malah berpotensi diketengahkan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa sebagai sebahagian daripada khazanah ilmu negeri. — AYLA MEDINA/ JIWA BAKTI